Friday, May 3, 2013

BERBELANJA MENGIKUT ISLAM MELAHIRKAN PENGGUNA BIJAK


 

 

 

Pengguna bijak ialah mereka yang mengutamakan barangan keperluan daripada barangan kehendak. Sebagai pembeli kita mempunyai kuasa beli, tetapi sejauh manakah kita menggunakan kuasa beli itu secara berhemah?

Pengguna ialah individu yang mendapatkan barangan dan perkhidmatan dari pasaran untuk kegunaan dirinya dan isi rumah. Pengguna yang menggunakan barangan dan perkhidmatan tidak terikat dengan usia, kemampuan kuasa beli, jantina dan sebagainya. Peniaga dan pembeli mempunyai hubungan yang rapat serta memerlukan antara satu sama lain. Tanpa pengguna, peniaga tidak dapat menjual barangan mereka manakala pengusaha pula tidak dapat memasarkan produk mereka dengan baik. Ini akan merencatkan pertumbuhan rantaian permintaan pasaran.

Terdapat pelbagai unsur yang mempengaruhi kuasa membeli antaranya permintaan dan penawaran terhadap barangan atau perkhidmatan, citarasa pengguna, harga barang atau perkhidmatan dan lain-lain lagi.

Menurut statistik daripada pemantauan Pengguna e-Commerce visa 2010,secara purata rakyat Malaysia berbelanja lebih daripada RM 6,000 dalam talian. Perbelanjaan bulanan purata isi rumah meningkat 12.1 peratus kepada RM2,190 pada tahun 2009/10 daripada RM1,953 yang dicatatkan pada tahun 2004/05. Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia, peratus umur yang paling tinggi ialah 15 hingga 64 tahun.

Ini menunjukkan kawalan kuasa beli tidak diuruskan secara berhemah, mereka memaksimumkan perbelanjaan tanpa mengambil kira kesan jangka masa panjang seperti inflasi. Sekiranya budaya ini tidak dibendung, tidak mustahil kegawatan ekonomi Malaysia berlaku buat kali kedua.

            Oleh itu, pengguna memainkan peranan penting dalam memastikan rantaian permintaan pasaran stabil sejajar dengan permintaan barangan dan perkhidmatan. Ia tidak mengira faktor umur, jantina, kewangan dan sebagainya. Justeru, semua pihak perlulah memainkan peranan penting bagi memastikan hubungan antara pembeli dan peniaga berjalan dengan lancar.

Islam mendidik pengguna bijak





Islam menganjurkan umatnya agar tidak mengikut hawa nafsu ketika berbelanja. Perbelanjaan yang mengikut hawa nafsu seperti tabiat boros, berbelanja melebihi daripada kemampuan, mengutamakan barang kehendak daripada barang keperluan dan sebagainya. Hal ini menyumbang ke arah berlakunya pembaziran.

Allah berfirman yang bermaksud, "Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada tuhannya" – (Surah Al-Isra, 27).  

Ini suatu gambaran yang amat keras kerana syaitan itu makhluk yang paling ingkar terhadap perintah Allah. Islam menggariskan beberapa panduan kepada umatnya supaya tidak melanggar etika jual beli.

Dari aspek lain, Islam membuktikan bahawa ekonomi yang berasaskan syariah dapat mengekang masalah inflasi. Permasalahan ini dapat dilihat kepada negara-negara yang tidak mengamalkan syariah islamiah etika kepenggunaan dalam muamalat.

Islam melarang keras kepada penjual yang memanipulasikan hak pengguna seperti mengurangkan timbangan, menaikkan harga barang, menyorokkan barang untuk mengaut keuntungan yang lebih tinggi dan sebagainya.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Mutaffifin ayat 1-3:

"Kecelakaan besar bagi orang yang curang (menipu dalam timbangan dan sukatan). Iaitu apabila mereka menerima sukatan daripada orang lain mereka meminta dipenuhi; dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka menguranginya".

                Ini jelaslah menunjukkan bahawa menipu dalam perniagaan akan memberi impak yang negatif kepada pengguna dan juga ekonomi sesebuah negara. Seandainya peniaga masih berdegil dan meneruskan aktiviti seperti ini, maka berlaku penindasan terhadap pengguna.

             

Strategi pengguna dalam memilih barangan

            Hakikatnya, masalah ini dapat dibendung sekiranya pengguna mempunyai strategi dalam mendapatkan penawaran barang dan perkhidmatan.Antara langkah-langkah yang boleh digunakan ialah:

            1. Elakkan menggunakan troli dan raga tetapi gunakanlah beg kitar semula .

            2. Elakkan sikap “biar papa asalkan bergaya”

            3. Kurangkan tabiat mendapatkan maklumat mengenai barangan jualan lelong di web.

            4. Elakkan daripada singgah di pasar raya selepas pulang kerja.

5. Elakkan membawa anak yang sering mendesak untuk membeli sesuatu yang tidak perlu.

6. Kumpul baucer jualan.

7. Membaca katalog sebelum membeli, dengan cara ini, kita dapat menguruskan kewangan kita.

8. Elakkan membawa duit yang berlebihan.

9. Eakkan menggunakan kad kredit.

10. Jangan terpengaruh dengan iklan.

 

            Justeru itu, kita sebagai rakyat Malaysia perlu mengawal sikap suka berbelanja dan berjimat-cermat ketika berbelanja di pasar raya mahupun di kedai runcit.

 

No comments:

Post a Comment